Tanah Arab

Inti Sari

Moros
oleh , diterjemahkan oleh Amir Zayyanid
diterbitkan pada 28 April 2011
Dengarkan artikel ini
X
Cetak Artikel
Map of the Ptolemaic World (by J M Dent (1912), Public Domain)
Peta Dunia Ptolemaic
J M Dent (1912) (Public Domain)

Masyarakat Arab purba, atau Arabes sebagaimana yang dipanggil oleh masyarakat Hellenes (Yunani), adalah sebahagian daripada rumpun Semitik. Sebagai permulaan, penting untuk kita fahami bahawa bangsa Arab bukanlah terdiri daripada masyarakat tunggal, sebaliknya ia dianggotai oleh berbilang suku dan kerajaan kecil. Tanah Arab tempat mereka diami turut menyaksikan lahirnya ramai jurubina ulung yang membangunkan banyak binaan agung. Mereka ini menyumbangkan pengaruh yang besar dalam kebanyakan peristiwa penting di zaman silam.

Antara sebutan terawal tentang bangsa Arab datangnya dari Bible (Injil) dan Taurat. Jadual bangsa-bangsa dalam Kitab Kejadian juga ada menyebutkan nama Saba', Dedan, dan Qedar. Antara ketiga-tiga nama itu, mungkin yang paling tersohor adalah Saba', ratu yang mengunjungi istana Raja Sulaiman sebagaimana yang turut diceritakan di dalam kitab al-Qur'an. Beliau pada hari ini dikenali sebagai penguasa terulung kerajaan Saba', kerajaan yang memerintah rantau Yaman di zaman silam. Kerajaan tersebut masyhur dengan kemakmuran, pusat-pusat urban, dan monumen-monumen megah. Qedar pula dicatatkan dalam rekod Assyria sebagai suku bawahan yang membayar ufti kepada Assyria sejak kurun ke-8 SM, sementara catatan-catatan sejarah dari Ashurbanipal pula menyifatkan mereka sebagai musuh Assyria. Rekod daripada tamadun tersebut juga ada menyebut perihal suku Minaea yang dikenali sebagai masyarakat pedagang yang dominan di sekitar Laut Merah dan turut mempunyai hubungan baik dengan masyarakat Mesir yang banyak mengimport setanggi daripada mereka. Begitu juga dengan kota kafilah Tayma; ia ada disebutkan dalam catatan bangsa Assyria pada kurun ke-8 SM sebagai salah sebuah kota yang membayar ufti kepada Assyria, di samping menjadi tempat raja Nabonidus dari Babylon merehatkan diri dan meluangkan usia tuanya.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan
Kerajaan Nabatea mengecapi zaman kegemilangannya pada kurun pertama SM, iaitu ketika jajahan takluknya meliputi Dedan hingga ke Damsyik.

Antara suku Arab purba lain yang namanya dikenali pada hari ini adalah suku Gerrha yang berasal dari wilayah Bahrain. Mereka dipercayai menjalinkan hubungan perdagangan laut dengan tamadun di India. Bangsa Arab juga terkenal dengan suku pedagang dari wilayah utara yang dikenali sebagai Nabatea (Nabat/Nabati). Suku ini menetap di wilayah Jordan moden dan mengambil-alih kedudukan suku Qedar sebagai kuasa paling berpengaruh di rantau tersebut. Pemerintahan suku Nabatea berpusat di kota Petra, sebuah kota agung yang diukir daripada batu yang kini masyhur sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di dunia. Kerajaan Nabatea mengecapi zaman kegemilangannya pada kurun pertama SM, di mana jajahan takluknya meliputi Dedan hingga ke Damsyik. Menjelang tahun 106 M, ia diserap sebagai wilayah Arab-Rom di bawah nama Arabia Petraea. Bagaimanapun, suku yang paling kaya di seluruh Tanah Arab ialah suku Hadrami (Hadramawt) yang menetap di selatan semenanjung dan masyhur dengan penghasilan setanggi.

Pada zaman pemerintahan Empayar Rom, Tanah Arab menyaksikan berlakunya banyak perubahan. Misalnya, suku Minaea tidak lagi wujud dan kuasa dominan di Yaman pula telah bertukar tangan. Himyar, sebuah suku yang berasal dari selatan, muncul sebagai entiti paling berpengaruh di Yaman. Di bahagian utara pula, Zenobia mengungguli takhta sebagai salah seorang ratu Arab paling tersohor dari zaman silam. Beliau bertanggungjawab meluaskan wilayah Empayar Palmyra dan menakluk Mesir ,sebelum akhirnya beliau ditangkap oleh Maharaja Aurelian. Menjelang kurun ke-4 M, suku Gerrha pula diserap menjadi sebahagian daripada Empayar Sassanid.

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Sisihkan Iklan
Pengiklanan

Darihal Penterjemah

Amir Zayyanid
Penulis dan penterjemah bebas di The Patriots Malaysia, Kuala Lumpur

Nyatakan Kerja Ini

Gaya APA

Moros. (2011, April 28). Tanah Arab [Arabia]. (A. Zayyanid, Penterjemah). World History Encyclopedia. Diperolehi dari https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-578/tanah-arab/

Gaya Chicago

Moros. "Tanah Arab." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. Terakhir diubah suai April 28, 2011. https://www.worldhistory.org/trans/ms/1-578/tanah-arab/.

Gaya MLA

Moros. "Tanah Arab." Diterjemahkan oleh Amir Zayyanid. World History Encyclopedia. World History Encyclopedia, 28 Apr 2011. Web. 03 Dec 2024.